Artikel

Terbuka Perancis: Tiga Wakil Negara Tersungkur Di Pusingan 16

Daripada lima wakil negara yang beraksi, seramai tiga wakil negara tersungkur di Pusingan 16 sekaligus gagal ke peringkat suku akhir Terbuka Perancis – Jelajah Dunia Super 750 BWF.

Tiga wakil itu terdiri daripada dua beregu lelaki serta sepasang beregu campuran iaitu Goh Sze Fei-Nur Izzuddin, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Sze Fei-Izzuddin yang merupakan beregu lelaki No.3 negara tersingkir selepas tumpas kepada wakil negara jiran tetangga, Indonesia merangkap juara All-England 2022 iaitu Muhammad Shohibul Fikri dan Bagas Maulana.

Dalam pertarungan tersebut, Sze Fei-Izzuddin tumpas menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 18-21, 21-19 dan 17-21 dalam tempoh masa 71 minit.

Sementara itu, sepasang lagi beregu lelaki yang turut sama mengikuti jejak langkah ini adalah gandingan muda, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun.

Beregu yang berada di ranking ke-20 ini terpaksa akur tumpas kepada pasangan India No.8 dunia, Satwiksairaj Rankireddy dan Chirag Shetty secara “straight set” dengan skor 16-21 dan 14-21 dalam tempoh masa 40 minit permainan.

Manakala wakil negara yang terakhir mengalamai nasib malang ini adalah beregu campuran bebas (independent), Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing.

Pasangan No.9 dunia ini disingkirkan oleh beregu Jepun, Yuki Kaneko dan Misaki Matsutomo menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 12-21, 21-14 dan 15-21 dalam tempoh masa satu jam.

Untuk makluman, dua wakil negara yang berjaya mencetak kemenangan dan meneruskan kemaraan dalam saingan Terbuka Perancis ini adalah gandingan Pearly Tan-Thinaah Muralitharan serta Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

komen