Tiada sebarang wakil negara akan beraksi pada peringkat suku akhir Kejohanan Dunia Remaja BWF 2022. Perkembangan ini hadir selepas baki empat wakil negara tumpas di Pusingan 16 bagi kejohanan bawah 19 tahun (B-19) itu, semalam.
Pasangan beregu campuran, Bryan Goonting dan Lee Xin Jie menjadi yang pertama tersingkir apabila tumpas kepada beregu China, Liao Pin Yi dan Huang Ke Xin. Dalam pertarungan tersebut, Bryan-Lee tumpas secara “straight set” dengan skor 17-21 dan 17-21 dalam tempoh masa 43 minit permainan.
Tidak lama kemudian, ia diikuti dengan tersingkirnya perseorangan lelaki, Eogene Ewe yang selepas dikalahkan oleh pemain Thailand, Teeraratsakul Panitchaphon. Sepertimana beregu campuran negara, Eogene turut tumpas secara “straight set” kepada lawannya dengan skor 18-21 dan 17-21 dalam tempoh masa 43 minit permainan.
Selepas itu, episod kedukaan wakil Malaysia tersingkir daripada saingan ini bersambung dengan tumbangnya seorang lagi perseorangan lelaki negara. Lebih mendukacitakan, pemain yang tumpas ini merupakan pilihan ketiga untuk menjuarai kejohanan ini, Justin Hoh.
Justin terpaksa melupakan gelaran untuk kejohanan ini apabila tewas kepada pemain Korea, Kim Byung-jae juga secara “straight set” dengan pungutan mata 17-21 dan 19-21 dalam tempoh masa 43 minit.
RESULTS: #WorldJuniorChampionships2022
R16#JPN🇯🇵 Sora Ogaki-Osuke Sakurai def. #MAS🇲🇾 Bryan Goonting-Choi Jian Sheng(7) 26-28 21-17 21-14#DemiMalaysia #BadmintonMalaysia pic.twitter.com/sKQ2ItwjSG
— BAM (@BA_Malaysia) October 27, 2022
Episoh duka ini turut ditutup dengan tumbangnya wakil terakhir iaitu beregu lelaki, Bryan Goonting dan Choi Jian Sheng di tangan beregu Jepun, Sora Ogaki dan Osuke Sakurai.
Pertarungan ini berlangsung dengan sengit dimana ia berkesudahan dengan beregu dari negara matahari terbit itu meraih kemenangan dengan skor 26-28, 21-17 dan 21-14 dalam tempoh masa menghampiri satu jam permainan.
Sebagai perbandingan, edisi lalu yang berlangsung pada tahun 2019 menyaksikan Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya empat wakil di peringkat suku akhir.
Empat wakil tersebut ialah Shahyar Shaqeem (perseorangan lelaki), Yap Roy King-Gan Jing Err (beregu campuran), Goh Wyman (perseorangan wanita) dan Arif Junaidi-Muhammad Haikal (beregu lelaki).
Manakala kali terakhir Malaysia mempunyai wakil yang menjuarai kejohanan ini adalah pada edisi 2018 menerusi perseorangan wanita, Goh Jin Wei.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia