Terbuka Perancis: Pearly-Thinaah Julung Kalinya Tumpaskan Nami-Shida
October 28, 2022 Hafizuddin Omar

Akhirnya beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan berjaya menumpaskan salah satu lawan yang paling sukar dalam karier mereka.

Pernah bertembung dengan pasangan terbabit sebanyak enam kali sebelum ini di pentas antarabangsa namun kesemuanya berakhir dengan kekalahan. 

Bagaimanapun, perkara itu berubah sama sekali apabila Pearly-Thinaah julung kalinya berhasil menumpaskan beregu Jepun yang kini menghuni ranking ketiga dunia, Nami Matsuyama dan Chiharu Shida, sebentar tadi.

Kejayaan penuh bermakna itu hadir ketika mereka turun di pentas suku akhir Terbuka Perancis 2022, dimana, Pearly-Thinaah berjaya melakar kemenangan menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 15-21, 21-14 dan 21-13 dalam tempoh lebih satu jam permainan.

Pada masa yang sama, kemenangan ini membolehkan pasangan negara yang berada di ranking ke-11 dunia ini mara ke peringkat separuh akhir.

Untuk pengetahuan semua, secara tidak langsung, ianya menamatkan kemarau ke peringkat separuh akhir melanda Pearly-Thinaah yang menghampiri empat bulan lamanya. 

Sebagai rekod, kali terakhir mereka merekodkan kemaraan ke peringkat separuh akhir dalam kejohanan berstatus Jelajah Dunia BWF adalah di kejohanan Malaysia Masters yang berlangsung awal Julai lalu.

Sebagai tambahan, perjalanan Pearly-Thinaah di Terbuka Perancis ini diteruskan dengan bertemu beregu ranking ke-138 dunia, Baek Ha-na dan Lee So-hee di peringkat separuh akhir, esok.

Pasangan dari Korea ini mara selepas melakukan kejutan menumbangkan beregu wanita No.1 dunia dari China, Chen Qing Chen dan Jia Yi Fan.

Komen