Bekas Beregu No.1 Dunia Tumpas, Pearly-Thinaah Juara Terbuka Perancis 2022
October 30, 2022 Hafizuddin Omar

Prestasi luar biasa pasangan negara, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan sepanjang saingan Terbuka Perancis 2022 ternyata tidak mampu dikekang oleh mana-mana gandingan termasuk bekas beregu wanita No.1 dunia, Mayu Matsumoto dan Wakana Nagahara.

Gandingan Pearly-Thinaah yang berada di ranking ke-11 dunia pada ketika ini berjaya menumpaskan pasangan Jepun itu dalam perlawanan akhir sekaligus merangkul gelaran juara bagi kejohanan bertarah Jelajah Dunia Super 750 BWF itu.

Dalam perlawanan terbabit, meskipun Matsumoto-Nagahara tidak memberikan laluan mudah namun Pearly-Thinaah tetap berhasil merangka strategi untuk meraih kemenangan menerusi tiga set permainan. 

Pertembungan menentang pasangan yang pernah bergelar juara Kejohanan Dunia BWF 2019 itu berakhir dengan skor 21-19, 18-21 dan 21-15 dalam tempoh melebihi satu jam permainan di atas gelanggang. 

Untuk makluman semua, ini merupakan pertembungan sulung melibatkan kedua-dua gandingan, Pearly-Thinaah dan Matsumoto-Nagahara di pentas antarabangsa.

Sebagai tambahan, kejuaraan yang diraih Pearly-Thinaah ini merupakan yang kedua bagi siri kejohanan Jelajah Dunia BWF serta taraf yang tertinggi pernah dalam karier mereka.

Untuk rekod, kali terakhir mereka merangkul kejuaraan dalam siri kejohanan Jelajah Dunia BWF adalah saingan Terbuka Swiss 2021.

Featured Image: Badminton Association of Thailand

Komen