Pemain bintang skuad kebangsaan Vietnam, Nguyen Quang Hai yang beraksi di Liga Perancis tidak akan turut serta dalam saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 kelak.
Ini berikutan pemain tengah menyerang berusia 25 tahun itu tidak akan dilepaskan oleh kelabnya, Pau FC atas alasan kejohanan tersebut berada di luar Kalendar Perlawanan Antarabangsa FIFA.
Perkembangan itu disahkan sendiri oleh Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF), Le Hoai Anh berdasarkan laporan media negaranya, VnExpress.
Difahamkan pihak VFF telah cuba berunding namun Pau FC telah membuat keputusan untuk menolak permintaan terbabit ditolak.
Untuk makluman semua, Quang Hai yang menyertai Pau FC sejak penghujung Jun lalu kian menjadi percaturan penting buat skuad yang beraksi dalam saingan Ligue 2 tersebut.
Setakat ini, dia telah merekodkan 10 penampilan dimana dua daripadanya bermula dalam kesebelasan utama. Selain itu, Quang Hai turut berjaya mencetak jaringan sulung pada penghujung perlawanan ketika kelabnya menentang Rodez.
Lebih manis, jaringan sulungnya itu telah membantu kelabnya mengikat Rodez dengan keputusan 2-2 sekaligus membolehkan sekurang-kurangnya satu mata dipungut daripada perlawanan terbabit.
Sebagai tambahan, Quang Hai merupakan tonggak utama skuad senior dan skuad bawah 23 tahun Vietnam di bawah era bimbingan ketua jurulatih dari Republik Korea, Park Hang-seo termasuk ketika menjuarai Piala AFF 2018.
Bagi saingan Piala AFF edisi kali ini, Malaysia dan Vietnam telah diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Singapura, Myanmar dan Laos.
Featured Image: Football Association of Malaysia