Saingan bola sepak Perancis, Ligue 1 menjadi kurang menarik biarpun disertai pemain-pemain hebat seperti Kylian Mbappe, Neymar dan Lionel Messi.
Itu yang dipercayai oleh penyerang berpengalaman Sweden berusia 41 tahun, Zlatan Ibrahimovic. Jelasnya perkara itu disebabkan dirinya tidak lagi beraksi di sana sepertimana dari tahun 2012 hingga 2016 bersama Paris Saint-Germain (PSG).
“Sejak saya meninggalkan Perancis, semuanya semakin menurun, tiada lagi topik menarik untuk dibincangkan di Perancis,” ujarnya dalam satu sesi temu ramah bersama platform penstriman Perancis, Canal+.
“Perancis perlu saya, saya tidak memerlukan Perancis,”
“Walaupun (Ligue 1) mempunyai Mbappe, Neymar dan Messi, ianya tidak membantu kamu. (Mengapa?) Kerana kamu tidak mempunyai tuhan (dirinya),” jelasnya dalam klip video berdurasi sekitar 20 saat itu.
Ketika beraksi bersama PSG di Perancis, Zlatan mencetak 156 gol dalam kesemua kejohanan sekaligus membantu kelab itu menjuarai 12 gelaran domestik termasuk empat kejuaraan Ligue 1 berturut-turut.
Selain itu, rekod 156 gol Zlatan itu juga menempatkan dirinya selaku penjaring ketiga terbanyak sepanjang zaman buat PSG di belakang Edinson Cavani dan Kylian Mbappe yang memiliki 200 serta 188 jaringan masing-masing.
Pada penghujung musim 2016, Zlatan meninggalkan PSG dan berhijrah ke saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan menyertai Manchester United.
Featured Image: Paris Saint-Germain