Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon menyifatkan pertembungan menentang Kemboja dan Maldives dalam Pelawanan Antarabangsa Tier 1 pada 9 dan 14 Disember kelak sebagai lawan yang sesuai sebelum aksi Piala AFF 2022.
Biarpun kedua-duanya berada di kedudukan ranking yang lebih rendah iaitu ke-177 dan ke-154 dunia masing-masing berbanding Malaysia di ranking ke-146, pemilihan pasukan ini dibuat berpandukan susunan perjalanan skuad Harimau Malaya di kejohanan dwitahunan terbabit.
“Kemboja merupakan salah satu pasukan dari Kumpulan A yang mana pemilihan pasukan ini sebagai lawan pada perlawanan pemanas badan dilihat bersesuaian dalam usaha kita untuk mengenal pasti perkara-perkara yang perlu diperbaiki selepas pasukan kembali berkumpul untuk kem latihan pusat.”
“Kita telah bermain perlawanan menentang Thailand dan Filipina tahun ini dan percaya Kemboja akan menjadi pilihan lawan yang baik untuk persiapan kita kali ini.”
“Bagi pertemuan dengan Maldives, lawan yang biarpun bukan dari Asia Tenggara tetapi merupakan juara dua kali Piala Persekutuan Bola Sepak Asia Selatan (SAFF) pada 2008 dan 2018, selain memiliki corak permainan yang hampir sama dengan pasukan-pasukan Asia Tenggara yang lain.”
Pemilihan Aksi Pemanas Badan Bertemu Kemboja & Maldives Bersesuaian Dengan Persiapan Harimau Malaya Menjelang Piala Mitsubishi Electric AFF 2022
▶️ Baca kenyataan penuh Kim Pan Gon di https://t.co/jeAKfzHOmL#FAM #HarimauMalaya #AFFMitsubishiElectricCup2022 pic.twitter.com/WOA9mz9hAg
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) October 31, 2022
“Selain itu, Maldives memenangi kedua-dua perlawanan mereka ketika FIFA Days pada September dan merupakan salah satu pasukan terbaru yang telah menentang Laos, pasukan yang akan kita hadapi pada kejohanan nanti.” kata Pan-gon menerusi kenyataan dikongsikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), hari ini.
Untuk makluman semua, Malaysia telah diundi di dalam Kumpulan B bersama-sama Vietnam, Singapura, Myanmar dan Laos bagi edisi kali ini.
Malaysia akan memulakan kempen kali ini dengan bertemu Myanmar (21 Disember) di tempat lawan, diikuti dengan melayan kunjungan Laos (24 Disember) di tempat sendiri.
Seterusnya, Harimau Malaya akan meneruskan kempen itu dengan berhadapan juara edisi 2018, Vietnam (27 Disember) di tempat lawan sebelum menutup saingan peringkat kumpulan bertemu Singapura (3 Januari) di halaman sendiri.
Sebagai tambahan, juara dan naib juara Kumpulan A dan B akan layak ke peringkat seterusnya iaitu separuh akhir.
Featured Image: Football Association of Malaysia