Gergasi bola sepak Jerman, Borussia Dortmund membatalkan pertemuan menentang kelab Indonesia dalam siri Jelajah Asia pada November dan Disember kelak.
Pada September lalu, Dortmund memaklumkan akan terbang ke rantau asia tenggara semasa saingan Bundesliga dan eropah berehat – bagi memberikan laluan kepada berlangsungnya saingan Piala Dunia 2022 Qatar.
Tiga buah negara serta pasukan yang akan ditentang mereka dalam siri jelajahnya diumumkan pada ketika itu iaitu Indonesia (Persebaya & Persib Bandung), Singapura (Lion City Sailors, 24 November) dan Vietnam (skuad kebangsaan Vietnam, 30 November).
Bagaimanapun, Dortmund dalam kenyataan terbarunya memaklumkan membatalkan lokasi jelajah dan perlawanan menentang kelab-kelab di Indonesia.
Ianya tidak boleh dilangsungkan berikutan penetapan daripada pihak kerajaan Indonesia sebagai langkah-langkah keselamatan di stadium-stadium bola sepak. Penetapan ini hadir selepas tragedi yang berlaku di Stadium Kanjuruhan awal Ogos lalu.
Sebaliknya, Dortmund menggantikan pembatalan tersebut dengan turun ke Malaysia dan bertemu dengan juara Liga Super sebanyak sembilan kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Perkembangan itu turut disahkan oleh pihak JDT menerusi pelbagai platform laman sosialnya, lewat petang tadi. Setakat ini, pihak JDT sekadar berkongsikan butiran mengenai tarikh perlawanan, 28 November – dua hari selepas perlawanan akhir Piala Malaysia – dan venue perlawanan, Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Difahamkan, butiran lanjut seperti tarikh penjualan, harga tiket dan sebagainya membabitkan perlawanan persahabatan kelab antarabangsa ini akan menyusul kemudian.
Sebagai tambahan, siri Jelajah Asia ini akan disertai oleh barisa pemain yang tidak dipanggil oleh skuad negara masing-masing untuk menghadapi saingan Piala Dunia termasuk para pemainnya bawah 23 tahun (B-23) dan bawah 19 tahun (B-19).
Untuk makluman semua, ini bakal menjadi pertembungan kali kedua melibatkan JDT dan Dortmund. Kedua-dua kelab sudah pernah bertemu pada 2015 yang lalu dimana pada saat itu, JDT dengan keputusan 1-6 di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin.
komen
Tiada komen
Tiada lagi komen untuk artikel ini.
Jadi yang pertama untuk komen!