Faiz Nasir Kekal Bersama Terengganu Sehingga 2024 Biarpun Status Nafuzi Masih Menjadi Tanda Tanya
November 1, 2022 Hafizuddin Omar

Pemain lincah bertubuh kecil, Faiz Nasir akan kekal menyarung jersi kelab berpangkalan di pantai timur semenanjung tanah air, Terengganu FC sekurang-kurangnya dua tahun lagi.

Ini selepas Terengganu mengesahkan pemain berusia 30 tahun itu telah menandatangani kontrak lanjutan yang mengekalkannya bersama skuad Hitam Putih sehingga penghujung 2024.

Perkembangan itu diumumkan oleh Terengganu menerusi pelbagai platform media sosialnya, semalam. Pada masa yang sama, pengumuman ini sekaligus menolak segala desas-desus yang mengaitkannya dengan penghijrahan ke kelab lain, musim hadapan.

Menariknya, Faiz yang turut mendapat julukan “Messi” ini bersetuju dengan lanjutan tersebut tatkala status ketua jurulatih Terengganu pada musim hadapan masih menjadi tanda tanya.

Untuk makluman semua, ketua jurulatih sedia ada, Nafuzi Zain telah ditawarkan kontrak lanjutan selama setahun pada minggu lalu. Dia diberikan tempoh selama 14 hari untuk menerima atau tidak tawaran terbabit.

Sekiranya Nafuzi tidak menerima tawaran itu, Terengganu akan beralih kepada calon-calon lain bagi membimbing skuad itu mengharungi saingan Liga Malaysia dan Piala AFC pada musim hadapan.

Sementara itu, kesinambungan daripada lanjutan ini, Faiz turut berharap dapat mengakhiri karier bola sepaknya bersama Terengganu.

Sebagai rekod, Faiz mula menyertai Terengganu pada tahun 2017 sehingga 2018. Kemudiannya, pemain kelahiran Pasir Mas ini berhijrah selama semusim bersama Selangor FC sebelum semula kepada Terengganu di bawah kendalian Nafuzi pada tahun 2020.

Featured Image: Terengganu FC

Komen