Sebanyak 16 pasukan sahaja yang akan beraksi dalam kancah tertinggi bola sepak tanah air, Liga Super 2023. Perkembangan ini hadir selepas rayuan Melaka United (MUFC) dan Sarawak United (SUFC) memohon Lesen Kebangsaan ditolak.
Badan pengelola liga tempatan, Malaysian Football League (MFL) mengumumkan keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Rayuan Perlesenan Kelab MFL (AB) melibatkan kedua-dua pasukan terbabit, sebentar tadi.
“Keputusan itu diumumkan kepada pasukan pada hari ini oleh Mohamad Yasin Abdullah melalui pemakluman rasmi sekaligus menyaksikan MUFC dan SUFC tidak layak untuk beraksi dalam Liga Super 2023.” tulis kenyataan rasmi di laman sesawang MFL.
Terdahulu, First Instance Body (FIB) – badan bebas yang dilantik oleh MFL – mengumumkan Melaka United dan Sarawak United gagal mendapatkan Lesen Kebangsaan bagi membolehkan mereka bertanding dalam saingan Liga Super 2023.
Selaras dengan kegagalan mendapatkan Lesen Kebangsaan itu, kedua-dua kelab diberikan masa selama seminggu untuk mengemukakan rayuan.
Sebagai tambahan, 16 pasukan yang akan menyerikan saingan Liga Super musim hadapan ialah Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah Darul Aman, Negeri Sembilan, Penang, PJ City, Sri Pahang, Selangor, Terengganu, Kuala Lumpur City, Sabah, Kelantan, Kuching City, Kelantan United, Perak, PDRM dan UiTM.
Penyertaan sebanyak 16 pasukan ini bermakna setiap pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Super musim hadapan perlu menghadapi 30 perlawanan semusim.
Sebagai perbandingan, saingan musim ini yang disertai oleh 12 pasukan menyaksikan setiap pasukan menghadapi 22 perlawanan semusim.