Skuad berpangkalan di pantai timur semenanjung tanah air, Terengganu FC menepati ramalan dapat melayakkan diri dengan mudah ke peringkat suku akhir Piala Malaysia 2022.
Selepas menumpaskan Sri Pahang FC dengan keputusan 5-1 pada perlawanan pertama, Terengganu bimbingan Nafuzi Zain berhasil meraih satu lagi kemenangan besar iaitu 4-2 ke atas Sri Pahang pada perlawanan timbal balik, sebentar tadi.
Ini menjadikan Terengganu berjaya menumpaskan Sri Pahang dengan keputusan 9-3 secara agregat.
Sementara itu, menanti mereka di peringkat seterusnya iaitu suku akhir adalah juara bertahan, Kuala Lumpur City FC (KL City) yang mendapat bimbingan Bojan Hodak.
Skuad berjulukan The City Boys dapat melayakkan diri selepas menumpaskan PDRM FC dengan keputusan 4-0 secara agregat. KL City merakamkan kemenangan 3-0 pada perlawanan pertama. Manakala perlawanan timbal balik tamat dengan keputusan 1-0.
Untuk makluman semua, dalam kedua-dua pertembungan melibatkan Terengganu dan KL City dalam saingan Liga Super musim ini, kedua-duanya memihak kepada Terengganu.
Pertembungan pertama yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SMAZA) berakhir dengan keputusan 2-0 manakala perlawanan yang diadakan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pula tamat dengan skor 2-1.
Featured Image: Terengganu FC