Kejohanan Terbuka Malaysia 2023 yang akan berlangsung 10 hingga 15 Januari kelak akan menjadi pentas terakhir buat pemain beregu negara, Goh Liu Ying.
Menurut laporan New Straits Times, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 memaklumkan perkara ini di hadapan pengamal media selepas pelancaran Anugerah Ikon Sukan Harian Metro, sebentar tadi.
Pemain berusia 33 tahun itu dipetik berkata, “(kejohanan) Terbuka Malaysia tahun hadapan akan menjadi kejohanan terakhir saya,”
“Siapa gandingan saya? Anda perlu tunggu dan lihat, tetapi ianya menjadi (kejohanan) yang terakhir saya,” ujarnya.
Untuk makluman, Low Juan Shen menjadi gandingan terbaru buat Liu Ying. Kedua-duanya membuat penampilan dalam saingan Terbuka Vietnam yang tamat pada awal Oktober lalu.
Penampilan sulung gandingan ini berjaya mara sehingga ke peringkat suku akhir sebelum tumpas kepada beregu Indonesia, Zachariah Sumanti dan Hediana Julimarbela.
Sebelum itu, Liu Ying yang mengumumkan berpisah dengan gandingan lamanya, Chan Peng Soon pada penghujung tahun lalu sempat membentuk gandingan bersama Soong Joo Ven dan Ong Yew Sin untuk beraksi dalam beberapa kejohanan antarabangsa pada tahun ini.
Featured Image: Instagram Goh Liu Ying