Kejohanan bola sepak terulung, Piala Dunia FIFA yang berlangsung di Qatar bakal membuka tirainya pada 20 November kelak. Berbaki tidak kurang 20 hari sahaja lagi, Jepun menjadi pasukan pertama yang mengumumkan skuad akhir bagi mengharungi kejohanan ini.
Menerusi makluman di laman sesawang rasmi dan pelbagai platform media sosialnya, skuad berjulukan Samurai Biru yang dibimbing oleh Hajime Moriyasu berkongsikan senarai 26 pemain yang dipanggil.
Daripada 26 nama-nama tersebut, 20 daripadanya merupakan pemain yang beraksi di benua eropah manakala baki 6 pemain lagi datangnya daripada saingan domestik Jepun.
Mendominasi skuad ini adalah pemain-pemain yang beraksi di Jerman iaitu seramai 8 orang. Ia diikuti dengan 3 pemain dari England dan Perancis masing-masing.
Kemudiannya dituruti dengan 2 pemain dari Sepanyol dan Belgium serta seorang pemain dari Scotland dan Portugal masing-masing.
Untuk makluman semua, saingan Piala Dunia 2022 ini menyaksikan Jepun telah diundi dalam Kumpulan E bersama-sama juara empat kali, Jerman serta juara 2010, Sepanyol dan Costa Rica.
Mereka akan membuka saingan dengan bertemu Jerman (23 November), diikuti dengan Costa Rica (27 November) dan ditutupi dengan menentang Sepanyol (2 Disember).
Pencapaian terbaik Jepun dalam saingan Piala Dunia adalah mara ke Pusingan 16 sebanyak tiga kali. Kemaraan itu dirakamkan dalam edisi yang berlangsung di Korea-Jepun (2002), Afrika Selatan (2010) dan Rusia (2018).
Sebagai tambahan, kejohanan yang berlangsung di Qatar ini menjadi penampilan ketujuh berturut-turut Jepun dalam kancah Piala Dunia sejak tampil buat pertama kalinya pada edisi 1998 di Perancis.
Featured Image: AFC