Son Jalani Pembedahan, Penyertaan Ke Piala Dunia Cetus Tanda Tanya
November 3, 2022 Hafizuddin Omar

Peluang untuk pemain bintang Republik Korea, Son Heung-min untuk beraksi di kancah Piala Dunia 2022 Qatar yang akan bermula 20 November kelak mencetuskan tanda tanya. 

Ini selepas kelabnya, Tottenham Hotspur dalam satu kenyataan rasmi mengesahkan berusia 30 tahun itu akan menjalani pembedahan untuk menstabilkan keretakan di sekeliling matanya.

Pembedahan itu dilakukan selepas penyerang itu ditimpa kecederaan ketika turun menentang Olympique Marseille di Stade Velodrome dalam saingan Liga Juara-Juara UEFA (UCL).

Kecederaan Son itu berpunca daripada pertembungan dengan pertahanan Marseille, Chancel Mbemba di udara pada minit ke-23 sehingga memaksa permainan dihentikan dalam tempoh masa panjang.

Walaupun tanpa ketiadaan Son selepas daripada itu, Spurs tetap berhasil merekodkan kemenangan dengan keputusan 2-1 sekaligus mengutip 3 mata berharga.

Sementara itu, selepas pembedahan, Son akan memulakan pemulihan dengan kakitangan perubatan kelab. Perkembangan Son akan dikemaskini dengan lebih lanjut kepada para penyokong dalam masa terdekat.

Untuk makluman semua, Korea berada dalam Kumpulan H di saingan Piala Dunia kali ini. Skuad berjulukan Taeguk Warriors ini akan memulakan kempen peringkat kumpulan dengan menentang Uruguay dan diikuti oleh Ghana dan diakhiri dengan bertemu Portugal.

Featured Image: Tottenham Hotspur

Komen