Artikel

Kerajaan Melaka Beri Aaron Chia RM70,000 Atas Kejayaan Di Kejohanan Dunia & Sukan Komanwel

Kerajaan negeri Melaka memberikan satu insentif berbentuk wang tunai kepada pemain badminton beregu negara, Aaron Chia atas kejayaannya merangkul beberapa kejuaraan baru-baru ini.

Antaranya kejayaan Aaron Chia menjuarai Kejohanan Dunia BWF dan merangkul pingat emas acara berpasukan campuran serta pingat gangsa beregu lelaki dalam temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Insentif berjumlah RM70,000 itu disampaikan oleh Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), YB V.P. Shanmugam yang mewakili Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Ianya kepada pemain berusia 25 tahun terbabit dalam Majlis Penyampaian Hadiah Insentif Kejohanan Dunia, Sukan Komanwel Dan Sukan Malaysia XX MSN 2022 bertempat di Auditorium Seri Negeri, semalam.

Dengan melihat perkembangan ini, Kerajaan Negeri akan terus komited untuk membangunkan sukan di negeri ini selari dengan Flagship 8 iaitu berhasrat untuk memperkasa pembangunan belia dan sukan di Negeri Melaka di dalam Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ2035).”

“Kerajaan Negeri akan sentiasa menyokong usaha- usaha dan inisiatif-inisiatif untuk mengambil bahagian dalam menganjurkan lebih banyak kejohanan dan pertandingan sukan.”

“Aspirasi ini bukan sahaja mengalakkan perkembangan sektor industri sukan tetapi bagi melahirkan atlet-atlet Melaka yang berdaya saing di peringkat tertinggi.” katanya.

Sebagai rekod, ini bukanlah kali pertama Kerajaan Negeri Melaka memberikan insentif berbentuk wang tunai kepada Aaron Chia. Ketika dia merangkul pingat gangsa dalam temasya Sukan Olimpik tahun lalu, Kerajaan Negeri Melaka turut menghadiahkannya wang tunai berjumlah RM50,000.

Featured Image: Facebook VP Shanmugam

komen