Pogba Ditimpa Kecederaan Lagi, Terlepas Aksi Piala Dunia 2022
November 3, 2022 Hafizuddin Omar

Paul Pogba menjadi salah seorang pemain bintang dunia yang tidak akan menyerikan kejohanan Piala Dunia 2022 Qatar bermula pada 20 November kelak.

Perkembangan itu hadir selepas ejennya, Rafael Pimenta memaklumkan kliennya telah ditimpa satu lagi kecederaan semasa latihan iaitu melibatkan peha. 

Laporan Get Football News France yang memetik kenyataan Pimenta kepada Telefoot, berkata, kecederaan terbabit memaksa pemain tengah berusia 29 tahun itu berehat sekurang-kurangnya tiga minggu.

Pemain tengah itu sedang berusaha untuk kembali beraksi selepas mengalami kecederaan lutut ketika menyertai aksi pramusim bersama kelab baharunya, Juventus pada Julai lalu.

Susulan daripada kecederaan itu, Pogba yang pada awalnya tidak mahu membuat pembedahan. Bagaimanapun, pembedahan itu tidak dapat dielakkan dan dia terpaksa jua menjalaninya pada September lalu.

Namun dengan kecederaan terbaru menimpanya, dia terpaksa melupakan untuk kembali beraksi bersama kelabnya, Juventus apatah lagi untuk bersama skuad kebangsaan, Perancis bagi mempertahan kejuaraan Piala Dunia yang diraih pada 2018.

Untuk makluman, saingan edisi tersebut menyaksikan Pogba menjadi antara tunjang yang membantu skuad Les Bleus bimbing Didier Deschamps merangkul kejuaraan tersebut buat kali kedua dalam sejarah mereka.

Featured Image: Equipe de France

Komen