Artikel

Terbuka HYLO: Pemain Muda China Singkir Liew Daren Di Pusingan 16

Perjalanan perseorangan senior bebas (independent) negara, Liew Daren dalam saingan Terbuka HYLO – Jelajah Dunia Super 300 BWF – terhenti setakat di Pusingan 16.

Daren terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan ini apabila pemain muda China yang berusia 22 tahun, Li Shi Feng berhasil menumpaskannya sebentar tadi.

Dalam pertarungan terbabit, Daren yang menghuni ranking ke-29 dunia tumpas secara “straight set” dengan skor yang berkesudahan 18-21 dan 10-21 kepada Shi Feng dalam tempoh masa 37 minit permainan.

Sebagai rekod, ini merupakan pertembungan pertama melibatkan Daren dan pemain No.32 dunia ini di pentas kejohanan antarabangsa. 

Kekalahan ini juga menandakan Daren sudah lebih lima bulan gagal melayakkan diri ke peringkat suku akhir dalam mana-mana kejohanan yang disertainya.

Kali terakhir Daren merekodkan kemaraan melebihi peringkat Pusingan 16 adalah dalam saingan Terbuka Thailand yang berlangsung pada Mei lalu.

Ketika itu, Daren berhasil mara sehingga peringkat separuh akhir bertemu rakan sepelatih merangkap anak didiknya, Lee Zii Jia.

Sementara itu, Shi Feng yang meraih kemenangan akan bertemu samada pemain Hong Kong, Ng Ka Long Angus atau pemain Perancis, Toma Junior Popov di peringkat suku akhir yang akan berlangsung esok.

Featured Image: Badminton Association of Thailand

komen