Gandingan beregu campuran, Chan Peng Soon dan Cheah Yee See menjadi nama terbaru yang meninggalkan badan induk, Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Perkara mengejutkan itu disahkan sendiri oleh Setiausaha Agung, Datuk Kenny Goh dan Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky dalam satu sidang media yang turut disiarkan secara langsung di media sosialnya, hari ini.
Untuk makluman semua, Peng Soon, 34 tahun, kembali semula ke pangkuan BAM pada 1 Januari lalu selepas mengumumkan perpisahan dengan gandingan lamanya, Goh Liu Ying pada awal Disember tahun lalu.
Kemasukan Peng Soon ke dalam BAM pada waktu itu bertujuan untuk menguatkan jabatan beregu campuran serta menjadi mentor kepada skuad remaja kebangsaan sesuai dengan pengalaman kayanya dalam arena badminton serta status selaku pemenang pingat perak Sukan Olimpik.
Selain itu, Peng Soon turut memasang hasrat untuk melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
Sepanjang bersama BAM, Peng Soon digandingkan dengan beberapa orang pemain dalam kategori beregu campuran seperti Valeree Siow, Toh Ee Wei dan Cheah Yee See.
Namun begitu, kejohanan demi kejohanan yang disertai menyaksikan Peng Soon dan gandingannya hanya beraksi setakat peringkat Pusingan 32 dan Pusingan 16 sahaja.
Pencapaian terbaiknya hadir sehingga ke peringkat suku akhir di Terbuka India ketika bergandingan bersama Valeree Siow.
Sementara itu, Yee See, 26 tahun, yang menjadi gandingan Peng Soon buat kali kedua bermula di kejohanan Terbuka Indonesia pada Jun lalu turut sama meninggalkan BAM.
Sebagai tambahan, kedua-dua ini akan meninggalkan BAM selepas 30 November kelak.
Beberapa hari lalu, pemenang pingat emas Sukan SEA 2021 yang turut sama beraksi dalam kategori beregu campuran, Peck Yen Wei turut sama memaklumkan meninggalkan BAM.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia