Artikel

Anugerah Penjaring Terbanyak Tempatan Dipertandingkan Kali Terakhir Di ABK22 

Penganjur saingan domestik, Malaysian Football League (MFL) mengumumkan acara kemuncak Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2022 (ABK22) akan berlangsung secara virtual pada hujung Disember kelak.

Acara tahunan berprestij ini diadakan bagi memberikan pengiktirafan kepada pencapaian yang telah diraih pelbagai pihak kepada arena bola sepak tanah air terutamanya kepada pemain dan jurulatih dalam kancah Liga Malaysia.

Menariknya, MFL memaklumkan acara pada tahun ini bakal menyaksikan Anugerah Penjaring Tempatan bagi saingan Liga Super dan Liga Premier akan dipertandingkan buat kali terakhir di pentas ABK.

Selain itu, edisi kali ini juga bakal menyaksikan satu pembaharuan dimana Anugerah Kasut Emas akan diberikan kepada semua pemain yang merangkul anugerah penjaring terbanyak keseluruhan atau tempatan, saingan Liga Super dan Liga Premier.

Sebagai perbandingan, Anugerah Kasut Emas di acara ABK21 lalu diberikan kepada pemain yang menjaringkan gol terbanyak dalam semua pertandingan Liga Malaysia.

Sementara itu, satu anugerah baharu diperkenalkan MFL pada edisi ABK22 iaitu Gol Terbaik Liga Malaysia 2022 yang mana keputusan akan ditentukan berdasarkan undian daripada para penyokong.

Secara keseluruhan, ABK22 akan mempertandingkan 16 anugerah seperti berikut:

  1. Penjaring Terbanyak Liga Super 2022
  2. Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super 2022
  3. Penjaring Terbanyak Liga Premier 2022
  4. Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Premier 2022
  5. Penjaga Gol Terbaik
  6. Pertahanan Terbaik
  7. Pemain Tengah Terbaik
  8. Penyerang Terbaik
  9. Jurulatih Terbaik
  10. Pemain Muda Terbaik
  11. Pemain Import Terbaik
  12. Pasukan Terbaik
  13. Anugerah Fair Play
  14. Fan XI
  15. Gol Terbaik Liga Malaysia 2022
  16. Pemain Paling Bernilai (MVP)

komen