Pasukan pelawat, Terengganu FC mencipta kejutan ke atas juara bertahan Piala Malaysia dalam perlawanan pertama peringkat suku akhir di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, sebentar tadi.
Pertembungan terbabit menyaksikan Kuala Lumpur City FC (KL City) yang masih segar dengan kejayaan mara ke perlawanan akhir Piala AFC baru-baru ini tumpas 1-0 sekaligus membolehkan Terengganu membawa sedikit bekalan menjelang perlawanan timbal balik pada 12 November kelak.
Sebaik sahaja wisel ditup oleh pengadil bagi memulakan perlawanan, kedua-dua pasukan bimbingan Nafuzi Zain dan Bojan Hodak ini berlangsung rancak dengan kedua-duanya saling melakukan serangan balas.
Namun begitu, Terengganu dapat mencetak gol tunggal perlawanan seawal minit ke-13 permainan menerusi penjaring yang sedang dalam prestasi terbaiknya, Kpah Sherman.
📹 HIGHLIGHTS: @KLCityFootball 0-1 @FCTerengganu
Kpah Sherman menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-14.#TMPialaMalaysia2022 pic.twitter.com/6YiFg5jxeS
— Malaysian Football League (@MFL_MY) November 6, 2022
Akan tetapi, skrip permainan berubah pada babak kedua dan Terengganu terpaksa berhempas-pulas untuk meneruskan permainan sehingga waktu penamat.
Semuanya gara-gara penjaga golnya, Suhaimi Hussin dilayangkan kad merah pada minit ke-62 kerana menjatuhkan pemain lawan ketika menyerang sekaligus terpaksa beraksi dengan 10 pemain sahaja..
Walaupun terpaksa mengharungi keseksaan itu tatkala KL City lebih bernafsu untuk menyerang bagi menyamakan kedudukan, Terengganu tetap kental bertahan bagi memastikan pendahuluan 1-0 yang dimiliki kekal sehingga pengadil perlawanan meniup wisel menamatkan permainan.
Untuk makluman, kemenangan pada malam ini juga merupakan yang kelapan berturut-turut sejak perlawanan menentang Penang FC dalam saingan ke-18 Liga Super.
Selain itu, kemenangan ini juga menjadikan Terengganu merekodkan tiga kemenangan bersih daripada tiga pertemuan ke atas KL City dalam saingan Liga Malaysia musim ini.
Featured Image: Terengganu FC