Artikel

Francesco Bagnaia Muncul Juara MotoGP – Tamatkan Kemarau 15 Tahun Ducati

Pelumba Ducati, Francesco Bagnaia muncul juara bagi Kejuaraan Dunia MotoGP musim ini apabila juara bertahan, Fabio Quartararo gagal mengatasinya dalam kedudukan mata keseluruhan selepas tamatnya perlumbaan terakhir, semalam.

Perlumbaan yang berlangsung di Litar Ricardo Tormo itu menyaksikan Quartararo yang menunggang jentera Yamaha menamatkan saingan di tempat keempat.

Bagnaia pula menamatkan perlumbaan itu di tempat kesembilan. Namun begitu, kedudukan itu sudah memadai buat Bagnaia untuk diangkat selaku juara bagi musim ini selepas mengumpul 265 mata secara keseluruhan.

Untuk makluman, kejayaan pelumba berusia 25 tahun kelahiran Turin, Itali turut sama menamatkan kemarau 15 tahun penunggang Ducati untuk bergelar juara.

Sebagai rekod, Casey Stoner menjadi pelumba terakhir yang muncul juara dunia dalam kelas premier bersama pasukan Ducati pada tahun 2007.

Selain itu, Bagnaia juga muncul pelumba Itali pertama bergelar juara dunia dalam kelas premier selepas Valentino Rossi sekitar 13 tahun yang lalu.

Sementara itu, saingan GP Valencia pada malam tadi menyaksikan pelumba Suzuki, Alex Rins muncul juara diikuti pelumba KTM, Brad Binder serta pelumba Pramac, Jorge Martin di tempat kedua dan ketiga masing-masing.

komen