Cheah Liek Hou Muncul Juara Kejohanan Badminton Para Dunia Kali Ketujuh
November 7, 2022 Hafizuddin Omar

Pemain badminton para negara, Cheah Liek Hou menambah satu lagi koleksi gelaran juara dalam acara perseorangan lelaki di pentas Kejohanan Badminton Para Dunia BWF.

Terbaru, pemain berusia 34 tahun ini muncul juara di kejohanan yang berlangsung di Tokyo, Jepun, semalam. Kejuaraan itu merupakan yang ketujuh dalam kariernya.

Kejayaan itu hadir selepas Liek Hou menumpaskan seteru utamanya dari Indonesia, Dheva Anrimusthi dalam perlawanan akhir kategori SU5 (kecacatan fizikal) secara “straight set” dengan skor 21-14 dan 21-12 dalam tempoh 33 minit permainan.

View this post on Instagram

A post shared by Cheah Liek Hou 謝儮好 (@cheahliekhou4956)

Sementara itu, Liek Hou hampir-hampir sahaja membawa pulang kejuaraan berganda daripada kejohanan ini. 

Liek Hou yang beraksi dalam satu lagi acara iaitu beregu lelaki SU5 bersama gandingannya, Mohamad Faris Ahmad Azri berjaya mara ke perlawanan akhir.

Namun begitu, gandingan ini terpaksa akur menamatkan saingan selaku naib juara apabila tumpas kepada beregu Indonesia yang turut diwakili oleh Dheva serta rakannya, Hafizh Prawiranegara.

Dalam perlawanan itu, Liek Hou-Faris tumpas secara “straight set” dengan skor 9-21 dan 15-21 dalam tempoh 25 minit permainan.

Featured Image: Facebook Cheah Liek Hou

Komen