Perak FC yang kini dibimbing oleh Lim Teong Kim sedang sibuk membentuk pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2023 kelak. Ini termasuk menandatangani pemain-pemain baharu bagi menggalas cabaran tersebut.
Terbaru, media sosial pasukan berjulukan The Bos Gaurus ini memaklumkan penambahan khidmat bekas penjaga gol yang pernah beraksi dalam saingan Liga Thailand ke dalam skuadnya.
Pemain yang dimaksudkan itu ialah Bryan See yang berusia 29 tahun. Bagaimanapun, tiada sebarang makluman kepada umum dibuat mengenai tempoh kontrak yang mengikat Bryan dengan Perak.
Bercakap mengenai perjalanan karier Bryan, sekitar tahun 2019, Bryan menyertai Bangkok FC yang beraksi dalam divisyen ketiga bola sepak negara jiran tetangga itu selama setengah musim.
Tidak lama kemudian, Bryan pulang ke tanah air dan bergabung bersama PDRM FC sebelum menyertai Penang FC pada tahun 2021.
Kelab terakhir diwakilinya sebelum berhijrah ke Perak adalah Melaka United FC. Untuk makluman semua, Bryan berhasil membuat 12 penampilan dalam saingan Liga Super dan Piala FA sepanjang musim 2022. Daripada 12 penampilan itu, dua perlawanan berjaya disudahi dengan tanpa sebarang bolos (clean sheet).
Sebagai rekod, negeri Perak bukanlah satu nama asing buatnya. Pada tahun 2018 lalu, Bryan merupakan sebahagian daripada skuad Kelab Bola Sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) yang dibimbing oleh Abu Bakar Fadzim.
Featured Image: Bangkok FC