Harga tiket bagi perlawanan-perlawanan melibatkan Malaysia di pentas Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 telah dikongsikan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Perkara ini telah dibincangkan dalam Mesyuarat Keenam Jawatankuasa Eksekutif FAM pada hari ini. Menerusi satu kenyataan media, harga tiket bagi perlawanan peringkat kumpulan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) adalah bermula RM50 bagi kategori Terbuka.
Namun begitu, FAM turut menjual dua lagi kategori tambahan iaitu Premium dan Granstand. Bagi kategori ini, ianya dijual pada RM70 dan RM100 masing-masing bagi peringkat kumpulan.
Kejohanan kali ini menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Vietnam, Singapura, Laos dan Myanmar.
Untuk pengetahuan semua, Malaysia akan beraksi di SNBJ dalam dua perlawanan menentang Laos dan Singapura pada 24 Disember dan 3 Januari masing-masing.
Sementara itu, sekiranya Malaysia berhasil melayakkan diri ke peringkat separuh akhir, harga tiket bagi perlawanan di SNBJ ditetapkan pada kadar RM50 (Terbuka), RM80 (Premium) dan RM120 (Granstand).
Manakala harga tiket kanak-kanan pula ditetapkan pada kadar RM10 untuk perlawanan peringkat kumpulan serta separuh akhir.
Setakat ini, harga tiket bagi perlawanan akhir akan ditentukan kemudian sekiranya Malaysia layak dan berdasarkan kepada venue yang akan digunakan nanti.
FAM turut menambah, kesemua tiket akan dijual secara atas talian sepenuhnya dan diuruskan oleh Thaiticketmajor Co Ltd – pencetak tiket yang dilantik oleh pihak AFF.
Featured Image: AFF