Pasukan MPFL Dibenarkan Guna 2 Pemain Import Musim 2023
November 7, 2022 Hafizuddin Omar

Setiap pasukan yang beraksi dalam saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) bagi kategori lelaki dibenarkan untuk menggunakan khidmat dua pemain asing atau import pada musim hadapan.

Ini selepas penganjur, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan penambahan satu lagi kuota pemain import terbabit selepas Mesyuarat Keenam Jawatankuasa Eksekutif FAM yang dipengerusikan presidennya, Datuk Haji Hamidin Mohd Amin pada hari ini.

Bagaimanapun, penganjur menjelaskan penggunaan khidmat dua pemain import tersebut tertakluk kepada 1 kuota terbuka atau bebas serta 1 kuota asia.

Untuk makluman semua, FAM mula membenarkan pasukan-pasukan yang beraksi dalam kancah MPFL menggunakan khidmat seorang pemain import bermula musim 2020.

Sebagai tambahan, saingan MPFL 2023 kelak akan membuka tirainya pada Februari dan tamat pada Julai. Selepas tamatnya saingan MPFL, lapan pasukan terbaik liga akan layak untuk beraksi dalam saingan Piala Futsal Malaysia (MFC).

Selain itu, saingan musim hadapan berkemungkinan besar akan turut diserikan dengan kehadiran pasukan baharu iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT). 

Ini selepas JDT menerusi satu makluman di media sosialnya pada Oktober lalu telah mengumumkan akan membentuk satu pasukan futsal serta menubuhkan jabatan futsal pada 2023 kelak.

Pada masa yang sama, FAM turut mengumumkan saingan MPFL bagi kategori wanita dibenarkan untuk menggunakan khidmat seorang pemain import bagi musim hadapan.

Saingan MPFL bagi kategori wanita dijangka bermula pada Mei 2023.

Komen