Brunei Darussalam Sertai Piala AFF Buat Pertama Kali Selepas 26 Tahun
November 9, 2022 Hafizuddin Omar

Brunei Darussalam menempa sejarah baharu bola sepaknya apabila melayakkan diri ke saingan Piala AFF buat kali pertama selepas 26 tahun.

Pasukan yang berada di ranking ke-190 dunia itu mengesahkan kemaraan setelah berjaya mengatasi Timor Lester dengan agregat 6-3 dalam perlawanan Pusingan Kelayakan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022, semalam.

Dalam perlawanan pertama yang berlangsung pada Sabtu lepas, Brunei yang mendapat bimbingan ketua jurulatih baharu, Mario Rivera Campesino bermula September lalu mengejutkan Timor Leste dengan kemenangan 6-2.

Sementara itu, dalam perlawanan timbal balik yang berlangsung semalam, Brunei menanggung kekalahan 0-1 kepada Timor Leste. Namun begitu, dengan agregat keseluruhan 6-3, tiket kemaraan ke pusingan akhir Piala AFF tetap menjadi milik Brunei.

Kemaraan ini meletakkan Brunei dalam Kumpulan A bersama-sama juara bertahan, Thailand serta Indonesia, Filipina dan Kemboja.

Brunei akan memulakan perlawanan pertama dengan menentang Thailand pada 20 November kelak.

Sebagai rekod, Brunei hanya pernah beraksi sebanyak satu kali sahaja di kejohanan dwitahunan ini iaitu ketika edisi sulung pada tahun 1996.

Featured Image: AFF Cup

Komen