Penyerang kelahiran Brazil, Diogo Luis Santo yang pernah beraksi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) kini berstatus ejen bebas dan tidak lagi mewakili mana-mana kelab.
Ini selepas pemain berusia 35 tahun itu mencapai persetujuan bersama (mutual consent) untuk menamatkan kontrak dengan kelabnya di Thailand iaitu BG Pathum United.
Perkembangan itu dimaklumkan secara rasmi oleh pihak kelab berjulukan The Rabbits di platform media sosialnya, semalam. Sebelum itu, Diogo sendiri telah memaklumkan mengenai penamatan kontraknya menerusi satu muat naik di akaun Instagram miliknya.
Pihak kelab turut memaklumkan bekas pemainnya itu akan pulang ke negara kelahirannya. Pada masa yang sama, BG Pathum United turut menyatakan Diogo tiada sebarang perancangan untuk menyertai mana-mana kelab lain di Thailand bagi baki musim 2022-23 ini.
Untuk makluman, penamatan kontrak Diogo dan BG Pathum United ini hadir beberapa hari selepas pengumuman perlantikan ketua jurulatih baharu dari Australia, Matt Smith.
Sebagai rekod, Diogo mula menyertai BG Pathum United pada pusingan kedua saingan Liga Thailand 2020-21 selepas dua tahun beraksi bersama skuad Harimau Selatan.
Kehadiran Diogo pada ketika itu dengan tampil sebanyak 13 kali serta menjaringkan 6 gol serta mencipta satu “assist” turut membantu BG Pathum United menjuarai saingan Liga Thai 1 buat pertama kali dalam sejarahnya.
Featured Image: JOHOR Southern Tigers