Artikel

Piala Dunia: Naib Juara Edisi Lalu Hanya Kekalkan 8 Muka Lama

Naib juara Piala Dunia 2018, Croatia menjadi pasukan terbaru mengumumkan senarai 26 pemain yang dipilih oleh ketua jurulatihnya, Zlatko Dalic bagi menghadapi saingan Piala Dunia Qatar 2022.

Berdasarkan daripada senarai yang dikongsikan di pelbagai laman sosialnya sebentar tadi, skuad berjulukan Vatreni ini mengekalkan lapan pemain yang pernah bersama skuad Piala Dunia di Rusia, empat tahun lalu.

Lapan pemain tersebut termasuk pemenang Anugerah Bola Emas, Luka Modric serta tujuh lagi pemain seperti Dominik Livakovic (penjaga gol), Domagoj Vida, Dejan Lovren (pertahanan), Mateo Kovacic, Marcelo Brozovic (pemain tengah), Ivan Perisic dan Andrej Kramaric (penyerang).

Manakala pemain-pemain selebihnya merupakan muka baharu yang beraksi di pelbagai kelab di sekitar benua eropah termasuk saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), La Liga, Bundesliga, Serie A, Ligue 1 dan lain-lain lagi.

Untuk kejohanan kali ini, Croatia telah diundi dalam Kumpulan F bersama-sama Belgium, Maghribi dan Kanada. Skuad dari rantau utara afrika akan menjadi lawan sulung mereka pada 23 November kelak.

Featured Image: Facebook Hrvatski nogometni savez

komen