Adidas Atur 5 Jerayawara Perkenalkan Bola Piala Dunia Al-Rihla
November 10, 2022 Hafizuddin Omar

Bersempena dengan kejohanan Piala Dunia Qatar 2022 yang akan membuka tirainya bermula 20 November kelak, adidas Malaysia dengan kerjasama Al-Ikhsan Sports mengatur lima jerayawara (roadshow) di seluruh semenanjung bagi memperkenalkan Bola Rasmi Perlawanan yang bernama Al-Rihla kepada peminat bola sepak di Malaysia.

Lokasi pertama jerayawara ini bertempat di Sunway Pyramid yang bermula dari 10 hingga 20 November. Di sini, pengunjung akan dibawa melalui Arkib Bola Perlawanan – menampilkan 14 bola rasmi perlawanan buatan adidas yang digunakan pada edisi-edisi Piala Dunia terdahulu.

Kemudiannya, terdapat ruangan yang mempamerkan kit pasukan-pasukan buatan adidas yang beraksi di Piala Dunia kali ini seperti Jerman, Argentina, Sepanyol, Jepun, Mexico, Colombia dan Sweden sedia untuk dibeli oleh para pengunjung.

Selain kit yang dipamerkan, terdapat juga rangkaian produk adidas yang lain.

Seterusnya, pengunjung berpeluang untuk ke ruangan sesi mencuba kasut (shoe trialling) serta merasai nikmat menyepak bola Al-Rihla di stesen permainan berteraskan bola sepak.

Tidak ketinggalan, jerayawara ini turut menganjurkan satu pertandingan media sosial di tapak acara. Para peserta yang mengambil bahagian berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah termasuk Kod FIFA23 Ultimate Edition dan juga bola Al-Rihla yang ditandatangani oleh David Beckham. Keterangan lanjut mengenai pertandingan ini boleh didapati di akaun Instagram rasmi adidas.

Untuk makluman semua, selepas tamatnya jerayawara di Sunway Pyramid, ianya akan bergerak ke pantai timur semenanjung tanah air iaitu di KTCC Mall, Kuala Terengganu bermula 24 hingga 27 November.

Selepas itu, lokasi seterusnya ialah Sunway Carnival Mall, Pulau Pinang (30 November – 4 Disember) diikuti Mid Valley Southkey, Johor (7-11 Disember) dan ditutup dengan lokasi terakhir Mahkota Parade (15-18 Disember).

Komen