Piala Malaysia: Irfan Harap Kelebihan Beraksi Di Tempat Sendiri Dapat Pacu Sabah Ke Separuh Akhir
November 10, 2022 Hafizuddin Omar

Bekalan satu gol yang dibawa dari Stadium Negeri pada suku akhir pertama Piala Malaysia masih belum mencukupi buat Sabah FC jika berhasrat mengulangi sejarah layak ke peringkat separuh akhir sepertimana empat tahun lalu.

Pemain tengahnya, Irfan Fazail, masih menghormati Kuching City FC yang berhasil menghadirkan tentangan sengit dalam perlawanan pertama lalu. Sambil itu Irfan turut menyifatkan peluang buat kedua-dua pasukan untuk layak ke peringkat seterusnya masih seimbang .

Namun begitu, pemain berusia 31 tahun ini mengharapkan kelebihan bermain di laman sendiri sambil dibantu sokongan padu para penyokong pada hari esok (Jumaat) akan menjadi pemangkin semangat bagi menangani tentangan hebat yang akan diberikan Kuching City.

“Masa lawan Kuching itu, saya dapat rasakan situasi masih lagi 50-50 bagi perlawanan kedua nanti tetapi apabila bermain di laman sendiri, saya harap semangat pemain-pemain Sabah akan lebih baik.

“Kita berhasrat mahu kekalkan kelebihan jaringan yang dimenangi tempoh hari dalam usaha melayakkan diri ke separuh akhir.

“Kehadiran penyokong ke stadium akan menaikkan moral semua pemain kerana tahun ini, penyokong-penyokong Sabah sentiasa berikan komitmen luar biasa sama ada kami menang atau kalah.

“Jadi, kami akan cuba untuk mara sejauh yang mungkin serta membawa Sabah ke peringkat yang lebih tinggi demi penyokong serta berada di tahap fokus terbaik ketika berdepan Kuching,” katanya.

Akhir-akhir ini, Irfan semakin mendapat perhatian ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee apabila kerap disenaraikan dalam kesebelasan utama dalam beberapa perlawanan.

Situasi itu melegakan bekas pemain Harimau Muda ini lebih-lebih lagi setelah mengharungi pelbagai isu kecederaan terutamanya Anterior Cruciate Ligament atau dikenali ramai sebagai ACL.

“Bila saya datang ke Sabah, keyakinan saya sangat bertambah kerana kembali bekerja dengan Datuk Ong malah dia turut membawa pasukan kejurulatihan sendiri.

“Fisioterapi dalam pasukan ini juga banyak membantu apabila saya ada alami kecederaan, mereka banyak membantu yang secara tidak langsung memberi suntikan semangat kepada saya.

“Saya telah bermain 90 minit dalam tiga perlawanan terakhir dan ketiadaan pemain-pemain utama seperti Gary Steven Robbat membuka ruang untuk saya membuktikan sesuatu kepada jurulatih,” katanya.

Untuk makluman, Sabah berjaya meraih kemenangan pada suku akhir pertama lalu menerusi jaringan tunggal daripada Baddrol Bakhtiar pada minit ke-69 selepas pantas menerpa bola muntah dari penjaga gol, Shaiful Wazizi, hasil percubaan awal daripada Farhan Roslan.

Featured Image: Kuching City FC

Komen