Kejohanan Siri Antarabangsa Malaysia yang berlangsung di Arena Badminton Perak, Ipoh menyaksikan beberapa lagi perseorangan lelaki negara tumpas sekaligus tersingkir daripada saingan ini.
Terbaru, tiga pemain negara yang diletakkan sebagai pemain pilihan untuk menjuarai saingan ini iaitu Lee Shun Yang (pilihan ke-4), Lim Chong King (pilihan ke-7) dan Justin Hoh (pilihan ke-15) mengalami kekalahan di Pusingan 16.
Sebentar tadi, Shun Yang, 21 tahun, ranking ke-138, terpaksa akur tumpas kepada pemain Indonesia yang menghuni ranking ke-224, Yohanes Marcellyno menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 21-14, 16-21 dan 15-21 dalam tempoh melebihi satu jam.
Sementara itu, Chong King, ranking ke-182 turut menerima nasib yang sama apabila tumpas kepada rakan senegara, Lim Chi Wing secara “straight set” dengan skor 9-21 dan 19-21 dalam masa 38 minit permainan.
Akhir sekali, Justin, 18 tahun, juga terpaksa melupakan hasrat untuk mara ke peringkat suku akhir setelah tumpas kepada pemain Indonesia, Syabda Belawa, 21 tahun, merangakap pilihan kelapan kejohanan.
Syabda berjaya meraih kemenangan dengan skor 14-21, 21-17 dan 21-17 dalam tempoh satu jam dan tujuh minit sekaligus menyingkirkan Justin daripada saingan ini.
Disebalik tumbangnya beberapa perseorangan pilihan negara, sekurang-kurangnya dua pemain berjaya melayakkan diri ke peringkat suku akhir.
Dua pemain terbabit ialah Eogene Ewe, 17 tahun, (ranking ke-1131) dan Lim Chi Wing, 27 tahun, (ranking ke-524).
Featured Image: Badminton Association of Malaysia