Petaling Jaya City Football Club (PJ City) mengumumkan tidak akan bertanding dalam saingan Liga Super 2023 kelak. Perkembangan itu disahkan oleh presidennya, Dato’ Sri Subahan Kamal dalam satu sidang media, hari ini.
Namun begitu, Subahan menjelaskan keputusan skuad berjulukan The Pheonix menarik diri bukan berpunca daripada tiadanya pulangan atas pelaburan (return on investment) yang dibuat terhadap pasukan ini.
Malahan, Subahan sedia maklum bahawa bola sepak di Malaysia tidak memberikan pulangan daripada segi kewangan.
Menurutnya, penubuhan PJ City yang dimiliki oleh Qi Group ini bertujuan untuk memberikan peluang kepada bakat tempatan menerusi tagline “Yakini Lokal” serta menyumbangkan pemain kepada skuad kebangsaan.
Faktor utama PJ City menarik diri adalah perubahan besar kancah bola sepak tanah air pada musim hadapan terutamanya melibatkan pertambahan kuota pemain import.
“Bola sepak Malaysia ada pulangankah? Tiada pulanganlah.”
“Kebanyakan kelab di dalam negara ini diuruskan oleh (kerajaan) negeri kerana (kerajaan) negeri mempunyai dana yang tanpa had.
“Bola sepak juga digunakan untuk menggembirakan orang ramai daripada sudut keputusan politik, kerana anda memiliki 100,000, 50,000 atau 40,000 penonton untuk hadir (menyaksikan perlawanan bola sepak).”
“Disebabkan itu, (kerajaan) negeri sanggup untuk mengepam duit (ke dalam pasukan bola sepak).”
“Saya boleh katakan PJ City merupakan satu-satunya kelab di dalam negara, saya berani katakan, merupakan satu-satunya kelab dalam sejarah bola sepak Malaysia, Qi Group yang keluarkan duit poket sendiri untuk membiayai pasukan.”
“Pada saat Dato’ Sri Vijay (Eswaran) merangkap pemilik membuat keputusan (menubuhkan PJ City), dia tidak pernah bercakap mengenai pulangan. Memang tiada pulangan.
“Kami tidak terlibat dalam bola sepak di negara ini untuk pulangan. Kami mahu menyumbang dengan memberikan peluang kepada bakat-bakat tempatan untuk ditinjau bagi diserap kepada skuad kebangsaan.” katanya kepada para pengamal media yang hadir di Qi Tower, sebentar tadi.
Subahan yang pernah menduduki kerusi Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) serta Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut menyatakan penglibatan bola sepak di Malaysia ini seumpama suatu tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan menjadi sumbangan kepada orang ramai.
Pada masa yang sama, walaupun tidak beraksi dalam kancah Liga Super musim hadapan, Qi Group akan kekal menyumbang dana kepada bola sepak tanah air namun dengan cara berbeza serta penumpuan terhadap peringkat akar umbi dan pembangunan.
Featured Image: Azri Haziq / Makan Bola