Skuad bola sepak kebangsaan Singapura akan terbang ke negara matahari terbit, Jepun hampir dua minggu bagi melakukan persediaan sebelum mengharungi saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022.
Perkembangan melibatkan skuad kendalian Takayuki Nishigaya itu dimaklumkan menerusi satu siaran di laman sesawang rasmi badan induk itu, semalam.
Seramai 29 pemain telah disenaraikan oleh ketua jurulatih untuk diterbangkan ke Chiba, Jepun bagi menyertai kem latihan yang dijadualkan bermula 1 hingga 12 Disember itu.
Di sana, skuad negara seberang tambak ini turut menjadualkan dua “training matches”.
Selepas tamatnya kem di sana, Singapura akan pulang ke tanah airnya untuk menghadapi satu perlawanan antarabangsa ‘A’ bertemu Maldives pada 17 Disember di Stadium Jalan Besar.
Selepas daripada perlawanan terbabit, ketua jurulatihnya akan mengumumkan senarai 23 pemain yang dipilih bagi menggalas cabaran Piala AFF.
Untuk makluman semua, Singapura diundi dalam Kumpulan B. Mereka akan membuka kempen Piala AFF dengan bertemu Myanmar diikuti Laos, Vietnam dan akhir sekali Malaysia pada 24 Disember, 27 Disember, 30 Disember dan 3 Januari masing-masing.
Sebagai tambahan, ini juga menjadi saingan Piala AFF yang pertama buat Singapura di bawah kendalian ketua jurulatih baharu, Takayuki, yang dilantik pada April lalu bagi menggantikan Tatsuma Yoshida.
Featured Image: Football Association of Singapore