Perjalanan pasangan beregu lelaki muda negara, Wan Arif Junaidi dan Muhammad Haikal dalam kejohanan Siri Antarabangsa Malaysia menemui noktah di peringkat suku akhir.
Biarpun diletakkan selaku pilihan kedua untuk menjuarai kejohanan ini, beregu yang terkenal dengan julukan ‘Patatimo Boys’ ini menerima satu kejutan oleh beregu China yang menghuni ranking ke-200 dunia, Chen Bo Yang dan Liu Yi.
Dalam pertarungan itu, Arif-Haikal yang merupakan beregu No.42 dunia terpaksa akur tumpas di tangan pasangan terbabit secara “straight set” dengan skor 10-21 dan 6-21 dalam tempoh 30 minit permainan.
Untuk makluman, ini merupakan pertembungan pertama melibatkan kedua-dua pasangan di kejohanan antarabangsa.
Sementara itu, dengan kemenangan yang dilakar, beregu dari negara tembok besar ini meraih tiket kemaraan ke peringkat separuh akhir.
Menanti mereka di peringkat terbabit adalah pasangan dari Indonesia, Muhammad Juan Elgiffani dan Muhammad Nendi Novatino.
Gandingan Juan-Nendi meraih kemaraan selepas menundukkan satu lagi beregu Malaysia, Chia Weijie dan Low Hang Yee merangkap pilihan keempat untuk menjuarai kejohanan ini.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia