Pasukan yang berpangkalan di kepulauan Borneo, Sabah FC berjaya menyamai pencapaian empat tahun dalam saingan Piala Malaysia dengan mara ke peringkat separuh akhir.
Pada edisi kali ini, pencapaian itu diulangi skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee setelah berhasil menumpaskan Kuching City FC menerusi agregat 2-1 di peringkat suku akhir.
Agregat itu dilakar setelah mereka menamatkan perlawanan timbal balik di Stadium Likas dengan keputusan seri 1-1.
Jaringan skuad The Rhinos hadir menerusi pemain importnya, Taiki Kagayama pada minit ke-94 pada masa tambahan. Sebelum itu, Kuching City mendahului menerusi jaringan sendiri pemain Sabah, Ummareng Bacok pada minit ke-84.
94’ GOL | Taiki Kagayama menjaringkan gol penyamaan dan meletakkan Sabah FC di depan secara agregat!@sabahfcofficial 1-1 @officialkcfc#TMPialaMalaysia2022 pic.twitter.com/xGy8ocrNdc
— Malaysian Football League (@MFL_MY) November 11, 2022
Ketika aksi suku akhir pertama di Stadium Negeri pada 5 November lalu, Sabah merekodkan kemenangan 1-0 hasil jaringan Baddrol Bakhtiar.
Sementara itu, di peringkat separuh akhir kelak, Sabah akan membuat perhitungan dengan naib juara edisi lalu, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Skuad berjulukan Harimau Selatan itu mara selepas menumpaskan Kelantan FC dengan agregat 8-0 di peringkat suku akhir.
Mereka meraih kemenangan 3-0 pada aksi suku akhir pertama. Manakala perlawanan timbal balik yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) sebentar tadi pula berkesudahan dengan keputusan 5-0.
Featured Image: Sabah Football Club