Beregu lelaki yang berusia 19 tahun masing-masing, Beh Chun Meng dan Goh Boon Zhe menjadi wakil tunggal negara yang mara ke perlawanan akhir kejohanan Siri Antarabangsa Malaysia yang berlangsung di Arena Badminton Perak, sepanjang minggu ini.
Gandingan yang menghuni ranking ke-226 dunia ini merakamkan kemaraan setelah menumpaskan beregu senegara, Leong Jun Kai dan Jimmy Wong yang berusia 21 dan 20 tahun masing-masing di peringkat separuh akhir, petang tadi.
Dalam perlawanan terbabit, Chun Meng-Boon Zhe merekodkan kemenangan secara “straight set” dengan skor 21-12 dan 21-13 dalam tempoh masa tidak sampai setengah jam di atas gelanggang.
Untuk pengetahuan semua, ini merupakan pentas perlawanan akhir bagi kejohanan peringkat senior yang pertama direkodkan oleh Chun Meng-Boon Zhe.
Sementara itu, kemaraan ini akan mempertemukan Chun Meng-Boon Zhe dengan beregu yang berada di ranking ke-200 dunia, Chen Bo Yang dan Liu Yi yang berusia 22 dan 19 tahun masing-masing.
Gandingan dari negara sebarang tembok ini mara selepas menumpaskan beregu Indonesia, Muhammad Juan Elgiffani dan Muhammad Nendi Novatino menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan 21-13, 13-21 dan 21-12 dalam pertarungan yang memakan masa hampir satu jam.
Sebagai tambahan, Bo Yang-Liu ini juga merupakan pasangan yang sama menumpaskan ‘Patatimo Boys’ iaitu Wan Arif Junaidi dan Muhammad Haikal merangkap pilihan kedua untuk menjuarai kejohanan ini di peringkat suku akhir.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia