Skuad berpangkalan di pantai timur semenanjung tanah air, Terengganu FC berhasil merakamkan kemaraan ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia buat dua tahun berturut-turut.
Lebih manis, pasukan yang mendapat bimbingan Nafuzi Zain ini berhasil mengulangi pencapaian ke peringkat itu selepas menyingkirkan juara bertahan, Kuala Lumpur City FC (KL City) menerusi agregat 4-1 pada peringkat suku akhir.
Terengganu mereih agregat tersebut selepas merekodkan kemenangan 3-1 dalam perlawanan timbal balik peringkat suku akhir di laman sendiri, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SMAZA) sebentar tadi.
Tiga jaringan Terengganu itu disumbangkan oleh Manuel Ott, Tchetche Kipre dan Kpah Sherman pada minit ke-21, ke-62 dan ke-88 masing-masing. Sementara itu, pasukan pelawat mencetak jaringan tunggalnya menerusi Hakimi Azim pada minit ke-45.
Sebelum itu, Terengganu membawa satu bekalan gol hasil daripada kemenangan 1-0 ke atas KL City pada aksi pertama suku akhir yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Ahad lalu.
Sebagai rekod, saingan Piala Malaysia edisi lalu menyaksikan Terengganu mara ke peringkat separuh akhir selepas menyingkirkan Sarawak United dengan agregat 6-3 pada suku akhir.
Namun begitu, Terengganu terpaksa akur menamatkan kempen Piala Malaysia edisi itu setakat peringkat separuh akhir apabila tumpas 1-4 secara agregat kepada Johor Darul Ta’zim (JDT).
Featured Image: Malaysian Football League