Mampukah Tan Cheng Hoe Tamatkan ‘Badi’ Selangor Terhadap Terengganu?
November 13, 2022 Hafizuddin Omar

Perlantikan Tan Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih baharu buat Selangor FC nampaknya membuahkan satu keputusan yang positif setakat ini.

Biarpun belum genap dua bulan Cheng Hoe bersama, beliau telah berhasil membimbing skuad berjulukan Gergasi Merah ini mara ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia 2022.

Selangor merakamkan kemaraan itu hasil daripada menundukkan Negeri Sembilan FC dengan agregat 4-2 selepas menamatkan aksi timbal balik suku akhir di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, dengan keputusan 2-2, sebentar tadi.

Sebelum itu, perlawanan pertama suku akhir yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 6 November lalu, Selangor berhasil mencatatkan kemenangan 2-0.

Namun begitu, menanti mereka di peringkat separuh akhir kelak adalah Terengganu FC kendalian Nafuzi Zain yang sedang dalam momentum terbaiknya – tidak merekodkan sebarang kekalahan sejak pertengahan September lalu.

Mereka mara selepas menyingkirkan juara bertahan, Kuala Lumpur City FC (KL City) menerusi agregat 4-1 di peringkat suku akhir.

Bukan sahaja berada dalam momentum terbaik, Selangor sejak tiga tahun lalu mempunyai ‘badi’ – gagal meraih sebarang kemenangan apabila bertemu Terengganu.

Bagi tahun ini sahaja, Selangor tumpas dalam kedua-dua perlawanan Liga Super, tewas dalam satu aksi perlawanan persahabatan serta seri ketika perlawanan separuh akhir Piala FA.

Untuk makluman semua, kedua-dua pasukan ini dijadualkan berentap pada 16 November (Rabu) bagi aksi separuh akhir pertama di Stadium MBPJ. Manakala 21 November pula menjadi tarikh bagi aksi timbal balik di Stadium SMAZA, Gong Badak.

Featured Image: Selangor FC

Komen