Pemilik Kelantan Berbesar Hati Jika Annuar Bantu KAFA Bayar Hutang RM3.93 Juta
November 14, 2022 Hafizuddin Omar

Hasrat bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa yang ingin membantu dua pasukan bola sepak negeri tersebut disambut baik oleh pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman.

Namun begitu, Norizam atau dikenali sebagai Zamsaham lebih berbesar hati sekiranya hasrat Annuar itu direalisasikan dengan membantu KAFA membayar hutang berjumlah RM3.93 juta.

Menurut laporan media, Annuar sedia menawarkan bantuan merangkumi soal kewangan mahupun pentadbiran lebih-lebih lagi kedua-dua pasukan tersebut, Kelantan FC dan Kelantan United FC bakal beraksi dalam kancah Liga Super musim hadapan dan tidak menjadi pasukan belasahan.

Annuar menyatakan tawaran itu ketika turun dalam sambutan ulang tahun sedekad kejuaraan TRW Treble 2012 bersama beberapa bekas pegawai pengurusan serta pemain-pemain skuad itu, semalam.

 

“Kalau benar Tan Sri Anuar Musa mahu bantu TRW (The Red Warriors), saya sangat berbesar hati jika Tan Sri bantu KAFA bayar hutang RM3.93 juta yang sudah sudah saya keluarkan untuk bantu bayar hutang-hutang pemain dan coaches yang ada antaranya bayar ratusan ribu untuk seorang coach.”

“Jika benar Tan Sri mahu bantu sungguh bertuah saya dengan kenyataan ini dan bersedia jumpa Tan Sri minggu depan di Kelantan mahupun KL (Kuala Lumpur).”

“Sebelum ini saya dah jumpa Dato’ Rosmadi (bekas pengurus skuad Kelantan FC suatu masa dahulu), beliau hanya boleh bagi moral support (sokongan moral) dahulu buat masa ini.”

“Semoga perjumpaan dgn Tan Sri dapatlah saya dana RM3.93 juta ini dahulu.” katanya menerusi laman sosialnya.

Untuk makluman semua, KAFA berhutang sebanyak RM3.93 juta apabila Norizam memberikan pendahuluan wangnya ketika membeli pasukan berjulukan The Red Warriors pada tahun 2020. Pendahuluan itu diberikan agar KAFA dapat menyelesaikan hutang lapuknya.

“Jika boleh bayar hutang KAFA ni mudahlah saya belanja besar sikit untuk musim 2023.” tambah Norizam lagi.

Komen