Artikel

Hamidin Dipilih Sebagai Ahli Majlis AFF Penggal 2022-2026, Tak Bertanding Jawatan Lebih Tinggi Kerana Mahu Tumpu Kepada Malaysia

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Mohd Amin menjadi salah seorang individu yang dipilih untuk mengisi kerusi Ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) bagi penggal 2022-2026.

Pemilihan Hamidin itu bersama-sama beberapa lagi individu lain disahkan dalam Kongres Biasa AFF Ke-29 yang berlangsung di Siem Reap, Kemboja, hari ini.

Empat lagi individu yang dipilih untuk menduduki kerusi Ahli Majlis AFF itu ialah Chris Nikou (Australia), Ko Ko Thein (Myanmar) dan Thanasak Suraprasert (Thailand). 

Teo Chwee Lian Julie dari Singapura pula mengisi tampik Ahli Majlis Wanita AFF bagi penggal yang sama.

“Kami terus mengharapkan kerjasama yang lebih erat dalam kalangan negara anggota AFF di bawah kepimpinan Sameth agar AFF dapat membantu ahli gabungannya menaikkan standard (piawaian) bola sepak Asia Tenggara.

“Dengan pemilihan sebagai ahli majlis ini juga saya akan terus memastikan suara Malaysia sentiasa didengari di peringkat Asia Tenggara.

“Saya mempunyai sebab tersendiri iaitu untuk tidak bertanding merebut jawatan yang lebih tinggi kerana apa yang paling utama buat saya ialah negara Malaysia,” ujar Hamidin sejurus tamat kongres.

Sementara itu, jawatan Presiden AFF kekal menjadi milik penyandangnya, Mejar Jenaral Khiev Sameth (Kemboja) buat penggal kedua setelah menang tanpa bertanding.

Manakala tiga jawatan Naib Presiden pula diisi oleh Pengiran Matusin bin Pengiran Matasan (Brunei), Maaike Ira Puspita (Indonesia) dan Hon. Francisco Martins da Costa Pereira Jeronimo (Timor Leste).

Kongres itu disusuli dengan mesyuarat majlis badan itu sambil dianggotai perwakilan FAM iaitu Timbalan Presiden, Datuk Wira Mohd Yusoff dan Setiausaha Agung, Noor Azman.

Featured Image: Football Association of Malaysia

komen