Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC, K. Devan menyatakan skuad bimbingannya tidak perlu melakukan rombakan besar-besaran bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2023 kelak.
Jurulatih berusia 55 tahun ini percaya dengan kemampuan skuad sedia ada. Menurutnya, skuad berjulukan Hoben Jang Hoben ini hanya perlu membuat sedikit penambahbaikan pada beberapa aspek termasuk memilih pemain import yang lebih baik.
Devan berkata demikian selepas tamatnya kempen Negeri Sembilan dalam saingan musim ini selepas tumpas kepada Selangor FC dengan agregat 2-4 di peringkat suku akhir Piala Malaysia.
“Terpulang kepada pihak pengurusan untuk perancangan musim depan tetapi bagi saya kita perlu buat persiapan yang lebih awal dan dengan pengalaman tahun ini, saya rasa kita boleh untuk membentuk pasukan lebih kuat.”
“Selain itu saya rasa kebanyakan pemain yang ada sekarang boleh dikekalkan dan kita hanya melakukan penambahbaikan, tidak perlu tukar 100 peratus.”
“Kita boleh ambil pemain baharu untuk mengisi di posisi yang kurang impaknya selain perlu mencari pemain import yang lebih baik selepas ini,” katanya.
Untuk makluman semua, kemaraan ke peringkat suku akhir Piala Malaysia ini merupakan yang pertama buat Negeri Sembilan selepas enam tahun.
Selain itu, pasukan yang baru sahaja mendapat promosi ke saingan Liga Super pada musim ini turut menampilkan prestasi yang mengejutkan ramai pihak dengan menamatkan saingan Liga Super di tangga keempat.
Sebagai rekod, ini juga merupakan pencapaian terbaik Negeri Sembilan selepas muncul naib juara Liga Super sekitar 14 tahun yang lalu.
Featured Image: Negeri Sembilan Football Club