Pembentukan pasukan yang dimiliki oleh syarikat telekomunikasi, XOX Berhad iaitu Perak FC bagi mengharungi saingan Liga Malaysia 2023 diteruskan dengan rancaknya.
Selepas mengumumkan melanjutkan beberapa kontrak pemain sedia ada serta mengikat pemain-pemain tempatan baharu, skuad berjulukan The Bos Gaurus ini mengumumkan lanjutan kontrak salah seorang pemain importnya.
Menerusi makluman rasmi kelab, pemain tengah menyerang kelahiran Argentina, Luciano Guaycochea dilanjutkan kontraknya selama dua tahun sekaligus menyaksikannya kekal bersama skuad bimbingan Lim Teong Kim sehingga 2024.
“Pertama sekali, saya sangat gembira dapat menandatangani lagi dua tahun kontrak di Perak FC.
“Saya rasa sangat seronok selama enam bulan saya berada di sini dan ia satu permulaan yang hebat.
“Saya rasa keputusan yang saya buat untuk menyambung kontrak di sini selama dua tahun adalah sangat bagus dan saya sangat gembira.” katanya selepas menandatangi kontrak lanjutan tersebut.
Untuk makluman semua, Luciano mula menyertai Perak pada jendela pertengahan musim, Jun lalu bersama-sama Stipe Plazibat (Croatia) dan Sunday Kolawole (Nigeria).
Sebelum menyertai Perak, pemain berusia 30 tahun ini beraksi bersama pelbagai kelab di beberapa buah negara seperti Turki, Venezuela, Bolivia selain negaranya sendiri.
Featured Image: Perak Football Club