Melaka FC menjadi nama baharu bagi pasukan yang akan mewakili negeri Melaka dalam kancah bola sepak tanah air dengan menyertai Liga M3, lapor portal Melaka Hari Ini.
Bukan itu sahaja, pasukan yang sedang dipersiapkan untuk mengharungi saingan Liga M3 ini turut meletakkan sasaran untuk mendapat promosi ke saingan Liga Super 2024 disamping layak beraksi dalam kancah Piala FA 2023.
Perkembangan itu disahkan sendiri oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA), Datuk Wira Nur Azmi Ahmad pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran dan Undian Rasmi Governor Cup 2022 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), malam tadi.
“Malah, kita juga sedang dalam proses memilih jurulatih baharu dengan kita sudah menyenarai pendek empat jurulatih iaitu dua jurulatih luar negara dan dua jurulatih tempatan untuk mengemudi pasukan.
“Pada masa sama, jawatankuasa teknikal juga akan dilantik bagi bekerjasama dengan jurulatih dalam aspek pemilihan pemain.
“Barisan pemain pula akan kita siapkan pada Disember, iaitu dua bulan sebelum saingan Liga M3 membuka tirai pada Februari,” katanya seperti dipetik daripada portal terbabit.
Pada masa yang sama, perkembangan ini sekaligus menolak polemik mengenai penggunaan nama Harimau Melaka FC sebagai pengganti kepada Melaka United FC yang sudah ‘terkubur’.
Sementara itu, Nur Azmi turut memaklumkan Stadium Hang Jebat kekal menjadi laman tuan rumah (home) kepada buat skuad ini. Selain itu, beliau turut memaklumkan kesemua perlawanan melibatkan Melaka FC dalam saingan ini akan berlangsung pada sebelah malam.
Satu perkhabaran baik turut disampaikan dimana penyokong skuad ini berpeluang untuk menyaksikan perlawanan secara percuma di stadium berkenaan pada peringkat permulaan saingan.
Tidak dilupakan, Nur Azmi turut mendedahkan pasukan ini telah membuat ketetapan dalam soal pengurusan dan akaun pasukan bagi mengekang berulangnya masalah tunggakan gaji.
Jelasnya, satu akaun khas akan diwujudkan untuk memastikan pembayaran gaji pemain berjalan lancar setiap bulan.
“Saya mahu fokus dan pastikan pembayaran gaji mengikut masa ditetapkan. Saya akan pastikan jika saya berhutang sekalipun, ia bukanlah hutang kepada pemain kerana perkhidmatan itulah yang paling penting dalam mengembalikan sukan bola sepak sebagai sukan nombor satu negeri ini,” tambahnya lagi.
Featured Image: Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA)