BWF Umum Jelajah Dunia Akhir 2022 Dipindahkan Ke Bangkok, Berlangsung Seminggu Awal
November 15, 2022 Hafizuddin Omar

Kejohanan Jelajah Dunia Akhir 2022 yang menawarkan hadiah terkumpul sebanyak 1.5 juta Dolar Amerika tidak akan dilangsungkan di Stadium Tianhe, Guangzhou, China sepertimana dirancang sebelum ini.

Sebaliknya, badan induk dunia, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengumumkan ianya akan dilangsungkan di venue lain iaitu Nimibutr Arena, Bangkok Thailand.

Bukan itu sahaja, kejohanan itu juga akan berlangsung seminggu awal berbandingan perancangan asal iaitu bermula 7 hingga 11 Disember kelak.

Perkembangan itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan kenyataan oleh BWF menerusi laman sesawang rasminya, pada hari ini.

Difahamkan, pertukaran venue itu dibuat selepas perundingan antara BWF dan Persatuan Badminton Chian (CBA) yang bersetuju untuk menukar venue kejohanan terbabit atas alasan pelbagai cabaran yang mendatang berpunca daripada sitausi semasa pandemik di negara itu.

BWF mengucapkan terima kasih kepada CBA, Guangzhou City Government dan Guangzhou Sports Bureau atas kerja keras mereka. 

Pada masa yang sama BWF turut melemparkan ucapan terima kasih kepada Persatuan Badminton Thailand yang menyediakan venue gantian untuk kejohanan Jelajah Dunia Akhir ini pada saat-saat akhir.

Senarai 8 pemain perseorangan lelaki mahupun wanita serta 8 beregu lelaki, wanita dan campuran terbaik yang layak beraksi dalam saingan ini akan dimaklumkan selepas tamatnya saingan jelajah dunia (world tour) terakhir, Terbuka Australia yang berlangsung pada minggu ini.

Komen