Artikel

CEO Terengganu FC Sahkan Nafuzi Tolak Lanjutan Kontrak Selama Setahun

Ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain tidak lagi membimbing pasukan berpangkalan di pantai timur semenanjung itu lagi pada musim hadapan.

Ini selepas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu FC, Ab Rasid Jusoh mengesahkan jurulatih berusia 44 tahun itu menolak tawaran lanjutan selama setahun yang dikemukakan kepadanya, pada penghujung Oktober lalu.

“Dalam surat tersebut, beliau (Nafuzi) tidak bersetuju untuk menyambung tawaran yang telah kita utarakan pada beliau,” kata Ab Rasid klip video sidang media yang dikongsikan oleh Facebook Pages, Revolusi Terengganu FC, hari ini.

Tambahnya lagi, surat penolakan tawaran daripada Nafuzi itu sampai kepadanya pada pukul 4.47 petang semalam.

Pada masa yang sama, Ab Rasid memaklumkan khidmat Nafuzi akan kekal bersama Terengganu sehingga tamatnya kempen Piala Malaysia 2022.

Ketika ini, Terengganu sedang dalam rangka persiapan untuk berhadapan Selangor FC kendalian Tan Cheng di peringkat separuh akhir.

Perlawanan pertama bagi separuh akhir ini berlangsung pada hari esok (16 November) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya. Manakala perlawanan timbal balik pula akan berlangsung pada Isnin hadapan (21 November) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SMAZA), Gong Badak.

Sebagai tambahan, Nafuzi mula berkhidmat sebagai ketua jurulatih sementara (interim) Terengganu bermula pertengahan tahun 2019 bagi menggantikan Irfan Bakti yang meletak jawatan. Pada penghujung tahun itu, Nafuzi telah dilantik selaku selaku ketua jurulatih penuh dan mengemudi Terengganu sehingga ke hari ini.

Featured Image: Terengganu FC

komen