Ranking BWF: Pearly-Thinaah Duduki Tangga Kelapan Dunia Buat Julung Kali
November 15, 2022 Hafizuddin Omar

Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan menghuni kelompok lapan beregu wanita terbaik dunia buat kali pertama dalam karier mereka, pada minggu ini.

Pemain yang berusia 22 dan 24 tahun masing-masing ini berada dalam kelompok tersebut selepas kemaskini ranking dunia oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini.

Kedudukan itu diduduki oleh Pearly-Thinaah selepas mengumpul 68,305 mata sekaligus membolehkan mereka melonjak satu anak tangga berbanding yang didudukinya pada minggu lalu.

Lonjakan satu anak tangga ini turut disumbangkan menerusi kejayaan Pearly-Thinaah menjuarai saingan Terbuka Perancis baru-baru ini selain penolakan pungutan mata beberapa kejohanan-kejohanan pada tahun 2019 yang menjejaskan kedudukan penghuni ranking kelapan sebelum ini, Yuki Fukushima dan Sayaka Hirota.

Sementara itu, kemaskini pada minggu ke-46 ini turut memperlihatkan beregu wanita negara yang lain melonjak satu anak tangga masing-masing seperti Vivian Hoo-Lim Chiew Sien (ke-25), Anna Cheong-Teoh Mei Xing (ke-26) dan Low Yeen Yuan-Valeree Siow (ke-44).

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen