Artikel

Pemain Bayern Munich Paling Ramai Sertai Piala Dunia 2022

Selepas kesemua negara mengumumkan senarai pemain yang akan menyertai Piala Dunia 2022, pemain kelab berpangkalan di Jerman, Bayern Munich dilihat paling ramai dapat menyertai kejohanan bola sepak paling berprestij itu.

Berdasarkan pemerhatian, seramai 17 orang pemain Bayern Munich terpilih untuk menyertai skuad negara masing-masing. Tujuh daripadanya terpilih untuk menyertai skuad Jerman iaitu Manuel Neuer, Leon Goretzka, Serge Gnabry, Leroy Sane, Jamal Musiala, Joshua Kimmich dan Thomas Muller.

Ianya diikuti dengan empat pemain yang menyertai skuad Perancis iaitu Lucas Hernandez, Dayot Upamecano, Benjamin Parvard dan Kingsley Coman.

Manakala baki enam pemain lagi iaitu Matthijs de Ligt, Sadio Mane, Alphonso Davies, Josip Stanisic, Eric Maxim Choupo-Moting dan Noussair Mazraoui dipanggil untuk menyertai Belanda, Senegal, Kanada, Croatia, Cameroon dan Maghribi masing-masing.

Mengikuti rapat Bayern Munich adalah FC Barcelona dan Manchester City yang mempunyai 16 pemain masing-masing terpilih menyertai saingan Piala Dunia edisi kali ini.

Tujuh pemain Barcelona telah disenaraikan untuk menyertai skuad kebangsaan Sepanyol iaitu Eric Garcia, Jordi Alba, Sergio Busquets, Gavi, Pedri, Ferran Torres dan Ansu Fati.

Sementara itu, Frenkie de Jong dan Memphis Depay pula dipanggil mengisi skuad Belanda. Dua lagi pemain, Jules Kounde dan Ousmane Dembele pula dipanggil skuad Perancis.

Baki lima lagi pemain menyertai skuad Brazil, Denmark, Jerman, Poland dan Uruguay masing-masing.

Bagi Manchester City, lima daripadanya terpilih menyertai skuad England iaitu John Stones, Kyle Walker, Kalvin Phillips, Phil Foden dan Jack Grealish.

Tiga pemain lagi yang terdiri daripada Joao Cancelo, Ruben Dias dan Bernardo Silva pula akan bersama-sama skuad Portugal. Dan dua pemain, Aymeric Laporte dan Rodri menyertai skuad Sepanyol.

Baki enam pemain lain bakal bersama Argentina, Belgium, Brazil, Jerman, Belanda dan Switzerland.

komen