Pasukan yang berpangkalan di kepulauan borneo, Kuching City FC nampaknya terus menagih khidmat jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti bagi mengharungi saingan Liga Super 2023 kelak.
Pengerusi Kuching City, YB Fazzruddin Abdul Rahman mengesahkan perkembangan tersebut selepas mengadakan mesyuarat dengan pihak pengurusan kelab, sebelum ini.
“Kita masih mengekalkan Irfan Bakti untuk mengemudi Kuching City bagi menghadapi saingan Liga Super 2023,” katanya seperti dipetik daripada portal Suara Sarawak.
Saingan musim ini menyaksikan Irfan berhasil membimbing Kuching City meraih tiket promosi ke saingan Liga Super secara merit dengan menghuni tangga ketiga Liga Premier.
Selain itu, jurulatih berusia 71 tahun ini turut mengemudi skuad berjulukan The Cats ini ke peringkat suku akhir Piala Malaysia buat pertama kali dalam sejarah kelab.
Untuk makluman semua, Irfan pada Januari lalu menyatakan niat bahawa tahun 2022 ini menjadi tahun terakhirnya bergelar jurulatih dalam kancah bola sepak.
Namun begitu, jurulatih yang pernah mengemudi Terengganu, Felda United, Selangor, Pulau Pinang dan beberapa pasukan lain lagi menyatakan belum membuat keputusan muktamad samada untuk bersara atau tidak sekitar Julai lalu berdasarkan laporan media tempatan.
Featured Image: Kuching City FC