Kedah Darul Aman, Lotto Lanjut Kerjasama Semusim Lagi – Tajaan Bernilai RM1 Juta
November 16, 2022 Hafizuddin Omar

Pasukan berpangkalan di utara semenanjung tanah air, Kedah Darul Aman FC akan terus menyarung jersi jenama pakaian sukan dari Itali, Lotto bagi mengharungi saingan Liga Malaysia 2023.

Ini selepas kedua-dua entiti bersetuju untuk meneruskan kerjasama selama semusim lagi pada tahun hadapan dengan anggaran tajaan bernilai RM1 juta secara keseluruhan.

Jumlah penajaan yang diumumkan itu menyaksikan pengurangan sebanyak RM100,000 berbanding tajaan yang diberikan Lotto pada musim ini yang bernilai RM1.1 juta.

Lanjutan kerjasama bagi Kedah Darul Aman dan Lotto menerusi Prestige Sports Sdn Bhd ini dimaklumkan secara rasmi melalui pelbagai platform media sosialnya, pada hari ini.

Dimaklumkan jumlah tajaan itu termasuk wang tunai berbentuk royalti jualan barangan dan dalam bentuk barangan untuk kegunaan skuad senior, bawah 23 tahun, bawah 20 tahun, bawah 18 tahun serta pasukan bawah 17 dan 14 tahun Kedah Darul Aman sepanjang musim 2023.

Dalam kenyataan yang sama, Kedah Darul Aman mendedahkan penjualan jersi bagi skuad berjulukan Sang Kenar bagi musim 2022 ini dianggarkan mencecah 16,254 helai.

Untuk makluman semua, lanjutan kerjasama antara Kedah Darul Aman bersama Lotto yang diumumkan pada pada hari ini menjadikan kedua-dua bakal bekerjasama selama lima musim berturut-turut sejak musim 2019.

Ini tidak termasuk kerjasama antara kedua-dua entiti pada musim 2010 dan 2011 yang lalu.

Komen