Artikel

FAM, Nike Perkenal Jersi Baharu Harimau Malaya – Harga RM299

Skuad bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya akan memperagakan jersi ‘home’ dan ‘away’ yang baharu apabila turun beraksi dalam mana-mana perlawanan mahupun kejohanan antarabangsa selepas daripada saat ini.

Ini selepas badan induk, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan syarikat jenama pakaian sukan dari Amerika Syarikat, Nike memperkenalkan jersi baharu untuk disarung pemain-pemain Harimau Malaya sepanjang tahun 2022 hingga 2024.

Jersi ‘home’ edisi kali ini hadir dengan rekaan ringkas dan minimal serba kuning dengan bahagian kolar sahaja berwarna hitam.

Manakala untuk jersi ‘away’ pula didatangkan dengan warna hitam yang dominan dan disertakan corak unik seakan-akan rekahan batuan pada bahagian badan.

Majlis memperkenalkan jersi baharu ini diadakan di Football Republic Sunway Pyramid pada hari ini. Beberapa pemain skuad kebangsaan seperti Khuzaimi Piee, Ahmad Syihan dan V. Ruventhiran hadir bagi memperagakan jersi baharu itu.

Ianya disempurnakan oleh Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Mohd Amin yang turut dihadiri oleh Pengarah Pemasaran Nike Asia Tenggara & India, Chris Madsen serta Pakar Pemasaran Sukan Nike Thailand & Malaysia, Jirawat Assavachompoonuch.

Untuk makluman semua, jersi-jersi baharu ini akan digunakan oleh anak buah Kim Pan-gon bermula daripada dua perlawanan antarabangsa menentang Kemboja dan Maldive diikuti di saingan Piala AFF dan Piala Asia kelak. 

Selain itu, ianya turut digunakan buat pelbagai lapisan skuad remaja, wanita, futsal dan bola sepak pantai.

Bagi yang berminat, jersi ini sudah mula dijual secara eksklusif di Football Republic Sunway Pyramid dan secara atas talian di www.nike.com/my dan Nike App.

Ia akan disusuli dengan kedai-kedai terpilih Al-Ikhsan Sports dan Football Republic serta di laman sesawang www.al-ikhsan.com bermula Khamis hadapan, 24 November.

Sebagai tambahan, kedua-dua jersi ini (fans issue) dijual pada harga RM299 sehelai.

komen